mutakhir

Jangan ganggu buaya itu

Oleh Ibrahim Isa

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor menasihatkan orang ramai supaya jangan menghampiri buaya yang dilihat di Pantai Lido, Johor Bahru, sebaliknya menghormati ruang reptilia berkenaan.

Pengarahnya, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan menangkap atau memindahkan buaya berkenaan kerana kawasan itu adalah habitat semula jadinya.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai perlu menghormati ruang buaya berkenaan dan jangan mengganggu dengan mendekati atau membaling apa-apa objek ke arahnya.

“Kami sedar ia adalah habitat semula jadi reptilia itu sejak berpuluh tahun lalu, malah papan tanda amaran ditempatkan di kawasan berhampiran sebagai peringatan kepada orang ramai.

“Mengikut rekod kami, terdapat antara dua hingga tiga buaya di kawasan i,tu namun agak sukar dipastikan jumlah sebenar kerana ia jarang timbul dan sukar dikesan.

“Sehingga kini, kami masih belum menerima aduan orang ramai berkaitan penemuan buaya itu kecuali ditularkan di laman sosial baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan buaya itu berusia 20 tahun dan bergerak sehingga ke perairan Gelang Patah.

Katanya, sehingga kini buaya berkenaan tidak pernah mengganggu atau menyerang manusia di mana-mana kawasan dan pihaknya berharap, orang ramai tidak melakukan provokasi ke atas reptilia berkenaan.

“Tolong jangan baling objek ke arah buaya berkenaan, sekiranya ternampak buaya itu pastikan anda berada di jarak selamat iaitu lebih 100 meter daripadanya.

“Selain itu, janganlah terlalu berani dan cuba merakam swafoto berlatarbelakangkan buaya itu dengan jarak yang dekat kerana kami tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Pada 12 Februari lalu, akhbar melaporkan satu video berdurasi dua minit 51 saat tular di Facebook (FB) memaparkan buaya sepanjang kira-kira lima meter berjemur di pantai berkenaan, sebelum masuk ke air selepas didekati pekerja selenggaraan, Muhammad Fitri Dawam, 24.

Dalam kejadian 6.10 petang itu, Muhammad Fitri bersama tiga rakannya dalam perjalanan pulang selepas melakukan tugas sebelum ternampak buaya itu.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 4:51pm
d