mutakhir

Tawan Kinabalu, promosi MyIPO

Oleh hmdigital

LIMA pendaki Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengibarkan bendera ‘MyIPO15’ apabila berjaya menawan Gunung Kinabalu yang juga puncak ketiga tertinggi di Asia Tenggara pada 6.30 pagi hari ini.

Pasukan terbabit mengambil masa empat jam pendakian sebelum tiba di puncak gunung itu yang terletak pada ketinggian 4,095 meter dari aras laut.

Ketua Misi ‘Road To MyIPO15’ Azlikhairul Abu Hasan Shaari berkata, usaha mereka bermula pada Isnin lalu selepas menerima bendera sambutan ulang tahun ke-15 MyIPO daripada Ketua Pengarah MyIPO Datuk Shamsiah Kamaruddin.

“Objektif utama kami melaksanakan pendakian ini untuk mempromosikan MyIPO sebagai organisasi yang bertanggungjawab melindungi harta intelek di Malaysia sejak ditubuhkan 15 tahun lalu.

“Selain itu, kami juga mahu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan MyIPO serta mengajak mereka untuk mengunjungi Karnival Harta Intelek yang akan diadakan di Paradigm Mall, Petaling Jaya pada 3 dan 4 Mac ini,” katanya.

Selain Azlikhairul yang juga Penolong Pegawai Bahagian Komunikasi Korporat MyIPO, empat lagi anggota ekspedisi terbabit adalah Penolong Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa MyIPO Noor Mohamad Hazman Hamid.

Turut serta dalam pendakian itu ialah Ketua Cawangan MyIPO Sabah Mohamed Noh Dzulnashriq Abdul Hamid, Ketua Unit Bahagian Kejuruteraan Paten Mohd Zaki Zakaria dan Penolong Pegawai Harta Intelek Norizam Amdan dari Bahagian Khidmat Pengurusan.

Mengulas misi mendaki yang bermula pada 2.30 pagi tadi, Azlikhairul berkata, mereka berdepan sedikit kesukaran kerana hujan lebat dan angin kuat selepas kira-kira dua jam pendakian.

“Namun Alhamdulillah, berkat kerjasama dan tiupan semangat rakan-rakan akhirnya kami berjaya juga ke puncak dan menyelesaikan amanah bagi meletakkan bendera MyIPO15 ini di puncak ketiga tertinggi di Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat MyIPO Akhtar Sahari berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan pasukan pendaki MyIPO15 berkenaan.

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 11:08pm
d