mutakhir

Sambut Tahun Baru Cina bersama 100 anak angkat

Oleh HM Digital

Kota Bharu: Sambutan Tahun Baru Cina bagi seorang usahawan tahun ini lebih bermakna apabila ia diraikan bersama 100 anak angkatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Usahawan berkenaan, Datuk Seri Sunny Ung, berkata, anak angkatnya terdiri daripada kaum Cina, Melayu, India dan Siam adalah pelajar dari empat sekolah di bandar ini.

Katanya, mereka terpilih kerana berlatar belakang keluarga yang memerlukan, kurang berkemampuan dan miskin tegar.

“Saya mahu berkongsi rezeki dengan anak angkat sempena Tahun Baru Cina bagi meringankan beban keluarga mereka. Perayaan ini bukan saja untuk masyarakat Cina, malah boleh diraikan kaum lain di negara ini dalam suasana yang muhibah dan harmoni.

“Saya mengambil anak angkat daripada pelbagai kaum kerana mahu mengeratkan hubungan sesama kita dan ia dilakukan sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Ibu Bapa dan Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, di sini, semalam.

Pada majlis itu, 100 orang termasuk murid dan pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Chung Cheng, SJK (C) Chung Hwa, SMJK Chung Hwa dan SMJK Chung Cheng menerima sumbangan wang tunai.

Sunny berkata, selain sambutan perayaan itu, dia juga memberi bantuan kewangan setiap bulan kepada anak angkatnya yang disalurkan kepada guru kelas masing-masing.

“Saya juga akan menanggung semua yuran mereka (anak angkat) termasuk persekolahan dan tuisyen yang masing-masing berjumlah antara RM500 hingga RM600 seorang,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 7:38am
d