mutakhir

Rampas mercun RM5,500 [METROTV]

Oleh HM Digital

Kepala Batas: Polis menumpaskan kegiatan menjual mercun dan bunga api sempena perayaan Tahun Baru Cina apabila menahan tiga lelaki dalam dua serbuan di Jalan Raja Uda, Butterworth, malam semalam.

Serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan membabitkan sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Butterworth yang berjaya menahan tiga suspek masing-masing berusia 20, 39 dan 46 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek pertama berusia 20 tahun ditahan bersama sebuah kotak mengandungi mercun dan bunga api di tepi jalan jam 8.30 malam.

“Tiga jam kemudian, dua lagi suspek berusia 39 dan 45 tahun ditahan ketika mereka sedang leka berniaga mercun di sebuah tokong.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga mereka menjual mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan kerana mendatangkan bahaya kepada orang awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis merampas semua mercun dan bunga api bernilai RM5,500 untuk siasatan lanjut.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes samun membabitkan pekerja warga asing selepas menahan dua lelaki berusia 18 tahun di Jalan Taman Pantai Intan, Bagan Ajam, Butterworth, Khamis lalu.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 7:43am
d