mutakhir

Kad UNHCR palsu 'bersepah'

Oleh Zaid Salim

PENDATANG asing tanpa izin (PATI) Myanmar ditahan kerana memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu.

Tindakan PATI berusia 23 tahun itu dikesan dalam Ops Khas Motosikal Sempena Tahun Baru Cina (TBC) 2018 dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di Jalan Kemajuan, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, malam semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen (Imigresen) negeri, Malik Zaliman Deraman berkata, lelaki terbabit ditahan yang turut menyertai operasi dijalankan bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Pada awalnya, lelaki terbabit yang menunggang motosikal milik rakannya ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu ketika melalui sekatan jalan raya di jalan berkenaan, antara jam 10 hingga 11 malam.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan pihaknya mendapati lelaki terbabit yang mendakwa sudah dua tahun menetap di negeri ini memiliki kad UNHCR palsu dan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Lelaki terbabit mendakwa kad berkenaan diperoleh secara percuma daripada seorang kenalan rakannya di Kuala Lumpur kira-kira setahun lalu.

“Dia juga mendakwa tidak tahu kad berkenaan adalah palsu,” katanya.

Lelaki itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 5:40pm
d