mutakhir

Kakitangan JPJ antara diambil keterangan

Oleh Razif Rosli

POLIS sudah mengambil keterangan enam individu bagi membantu siasatan kebakaran lima kenderaan termasuk tiga milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguatkuasaan JPJ Timbang Lori Kuala Kangsar, 6 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, enam individu terbabit adalah kakitangan JPJ serta orang awam. “Semua dipanggil untuk dirakam percakapan dan sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan terhadap mana-mana suspek,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Unit Ronda Bermotosikal (URB) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Ahmad Termizi berkata, penyiasatan kes itu dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bersama Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak. Katanya, pihaknya juga masih menunggu laporan penuh mengenai kebakaran itu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri.

Dalam kejadian pada 2.30 pagi, tiga kenderaan JPJ membabitkan dua Toyota Fortuner serta sebuah Ford Ranger dan dua kereta yang disita di kawasan parkir jabatan itu musnah masing-masing terbakar sebanyak 90 dan 70 peratus.

Berikutan itu, Timbalan Pengarah JBPM Perak Penolong Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon dipetik berkata, Unit Forensik JBPM Perak dengan dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) dari Klang, Selangor mengenal pasti enam sampel hasil siasatan di lokasi kejadian.

Katanya, sampel berkenaan kemudian dihantar ke Makmal Penyiasatan Kebakaran Bomba di Kuala Lumpur dan hasil analisa diperoleh menemui unsur bahan bakar.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pula dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian didalangi sindiket kenderaan klon.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 9:09pm
d