mutakhir

Pelarian daif di pesisir pantai

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Kedaifan lebih 15,000 pelarian etnik Rohingya menghuni perkampungan nelayan di pesisir pantai di Kutubdia Para, berdekatan dengan pelabuhan Cox’s Baza, Bangladesh, perlu diberikan perhatian oleh masyarakat antarabangsa.

Penghuni kampung nelayan terbabit memerlukan bantuan barangan keperluan asas, khemah sementara dan pendidikan bagi kanak-kanak sama seperti pelarian berlindung di beberapa kem lain sekitar Bangladesh.

Tinjauan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Shelter4Rohingya mendapati, kehidupan pelarian di perkampungan nelayan terbabit banyak bezanya dengan etnik itu di Kutupalong, Balukhali dan Tankhali.

Aktivis Shelter4Rohingya, Aemierulrizaki Rambli berkata, kawasan berkenaan terletak berhampiran pantai di Cox’s Bazar yang menjadi tapak cadangan sekolah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk anak-anak pelarian.

Beliau berkata, keadaan pelarian di kampung berkenaan mengundang rasa sedih delegasi yang turut disertai Penyelaras MAPIM Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman yang akan berada di Bangladesh sehingga Ahad depan untuk memberi bantuan kepada etnik Rohingya.

“Kemiskinan mereka ini memang di luar pemikiran kita. Apa yang membezakan hanya warganegara dan pelarian. Mereka masih menagih simpati penduduk tempatan bagi berjuang untuk meneruskan hidup.

“Sebelum ini, Presiden MAPIM pernah melawat kawasan ini dan bersetuju untuk membina sekolah ketika ini dalam pembinaan. Cuma, berdasarkan pemerhatian, bantuan antarabangsa tidak sebanyak di kem pelarian lain. Kami akan tinjau beberapa lawasan terdekat untuk mengaktifkan bantuan kepada mereka,” katanya kepada Harian Metro, ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 4:42am
d