mutakhir

Tunggu Ammu

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: “Anak-anak ardhu syam (anak-anak pelarian) sekalian, tunggu Ammu (pak cik) Sani datang,” itu pesanan Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery kepada ribuan kanak-kanak pelarian yang kini berlindung di sebuah kem di Rayhanli terletak di sempadan Turki-Syria.

Ahmad Sani bersama delegasi Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria 9 kini berada di sempadan dua negara itu bagi menyalurkan pelbagai jenis bantuan yang turut membabitkan pembinaan khemah baru.

Menjelaskan mengenai misi dijalankan, Ahmad Sani berkata, pihaknya akan mengambil masa lebih panjang berbanding sebelum ini berikutan bantuan perlu diagihkan ke-12 lokasi berbeza di sempadan tiga negara iaitu Turki, Syria dan Lubnan.

Namun, proses menyediakan kemudahan untuk memastikan pelarian berada dalam keadaan selesa sepanjang musim sejuk akan datang berjalan agak perlahan berikutan dana sebanyak RM2 juta diperlukan MAPIM belum mencapai sasaran.

Menurutnya, berdasarkan kepada perkembangan semasa, sebanyak 1,000 khemah tambahan diperlukan bagi menampung keperluan pelarian yang semakin padat, selain merancang menggantikan kemudahan lain yang sudah uzur.

“Saya merayu kepada rakyat Malaysia tak kira orang perseorangan atau syarikat untuk membantu misi kali ini. Keadaan begitu mendesak kerana musim sejuk di kawasan ini boleh mendatangkan kesan terutama kepada kanak-kanak.

“Kita memerlukan kira-kira RM250,000 lagi untuk penyediakan khemah tambahan itu. Setakat ini persiapan lain semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Harian Metro, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Selain membina khemah penempatan, MAPIM juga akan membeli bekalan perubatan, kelengkapan hospital, pembinaan perigi dan mengaktifkan semula 25 sekolah menerusi misi sebelum ini.

Justeru, katanya, orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank di nombor akaun 562834636987 atas nama Syria Emergency Appeal Dana MAPIM atau menyumbang secara dalam talian melalui www.tabungsyria.com.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 4:43am
d