mutakhir

Kereta terbalik cuba lari sekatan polis

Oleh HM Digital

Chukai: Tindakan seorang lelaki dipercayai penagih dadah cuba melarikan diri daripada sekatan polis gagal, selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik di Kampung Lubuk Lesong, di sini, kelmarin.

Rahsia suspek berusia 54 tahun itu melarikan diri terbongkar selepas polis menemui dua botol mengandungi dadah heroin, 63 pil kuda serta dua peket dadah syabu.

Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata sebelum itu suspek yang memandu kereta Audi dilihat dalam keadaan mencurigakan di Lebuh Raya Pantai Timur2 LPT2, dekat Plaza Tol Jabor, jam 3 petang.

Beliau berkata, ketika anggota polis menghampiri suspek untuk pemeriksaan, lelaki itu memecut kenderaannya keluar ke Jalan Jerangau-Jabor.

“Anggota peronda mengejar suspek selama 30 minit dan suspek cuba melanggar kenderaan peronda lebuh raya sebelum kenderaannya terbalik.

“Hasil siasatan polis juga mendapati kenderaan dipandu suspek adalah kenderaan klon yang menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Kemaman, di sini, semalam.

Mohd Said berkata, siasatan lanjut polis mendapati suspek mempunyai 25 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan polis mendapatkan perintah reman tujuh hari terhadap suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 108(3) (F) Akta Pengangkutan Jalan kerana menggunakan kereta klon.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 5:18am
d