mutakhir

Ladang lembu makmal syabu

Oleh Mohd Hasbi Side

Kuala Lumpur: Geng 36 yang aktif memproses dadah dipercayai menjadikan bekas kawasan ladang ternakan lembu di Jalan Pilin, Kampung Kundur Tengah di Pedas, Negeri Sembilan sebagai makmal dadah untuk mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, modus operandi mereka dikesan polis sebelum makmal memproses dadah syabu diserbu jam 4 petang pada Selasa lalu.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah dan bahan memprosesnya yang dianggarkan bernilai RM2.352 juta.

Sumber polis berkata, dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan dibantu JSJN Bukit Aman itu turut menahan 12 individu termasuk lima lelaki di makmal berkenaan selain tangkapan di Kajang, Selayang dan Ampang, Selangor.

Menurutnya, serbuan pertama yang dilakukan di bekas kawasan ternakan lembu berjaya menahan dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga India.

Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi berkenaan kemudian merampas dadah disyaki cecair syabu dianggarkan seberat 84 kilogram (kg).

“Kami turut merampas cecair disyaki bahan kimia dianggarkan berat 635.19kg, serbuk disyaki bahan kimia dianggarkan berat 120.37kg, pelbagai peralatan memproses dadah syabu termasuk satu alat pendidih ciptaan khas dan merampas Perodua Myvi,” katanya.

Menurutnya, susulan daripada serbuan berkenaan kemudian menahan seorang lelaki di tepi jalan dekat Bandar Teknologi Kajang serta merampas kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Turut ditemui lapan kotak mengandungi bekas plastik berisi ethanol absolute dan asid hidraulik sebanyak 87.6 liter, tiga guni mengandungi serbuk seberat 71.1kg serta lima tong plastik mengandungi cecair seberat 253.5kg.

“Kami kemudian menahan tiga lagi lelaki di kawasan sekitarnya serta seorang lagi di Taman Sungai Jelok, Kajang.

“Selain itu, siasatan lanjut turut membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita di sekitar Batu Caves, Selangor,” katanya.

Menurutnya, serbuan terakhir dilakukan di kawasan parkir pusat beli-belah Taman Cempaka, Ampang dan menahan seorang lelaki bersama kenderaan Perodua Myvi.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadapnya menemui dua kotak mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki ephirdrine seberat 26.52kg.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 5:18am
d