mutakhir

Sajian percuma Jumaat

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Bersedekah melalui orang tengah. Itu pakej ditawarkan seorang wanita bagi membantu mereka yang berminat melakukan amal jariah tetapi sibuk dengan komitmen kerja.

Siti Zanariah Nor Zin, 31, bersama tiga beradik dan kedua-dua ibu bapanya memasak sebelum menghantar makanan ke pusat tahfiz, masjid, rumah anak yatim dan kebajikan hasil sedekah orang ramai yang dinamakan #FreeFoodFriday (makanan percuma untuk Jumaat).

Menurutnya, setiap Jumaat dia memastikan amanat orang ramai yang mahu bersedekah terlaksana dan bangun seawal jam 1 pagi untuk memasak dan membungkus nasi lemak sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Pada mulanya saya hanya buat program makanan percuma setiap Jumaat sekadar suka-suka namun ia menarik perhatian rakan Facebook dan Instagram untuk menyertainya.

“Mereka memasukkan wang ke dalam akaun saya dan meminta kami masak untuk diagihkan kepada golongan memerlukan terutama anak yatim dan pusat tahfiz,” katanya.

Menurutnya, bapanya, Nor Zin Zainal, 64, dan ibu, Taijom Naam, 58, datang ke rumahnya di ibu kota dari Jelebu, Negeri Sembilan setiap Khamis untuk membantu mereka empat beradik menyediakan juadah demi melunaskan amanat penderma.

“Walaupun penat namun kami seronok sebaik melihat reaksi anak yatim merasai masakan air tangan kami.

“Malah kami puas dapat menyampaikan amanah orang ramai yang mempercayai saya sebagai orang tengah untuk bersedekah,” katanya yang juga seorang wartawan.

Katanya, demi mencari keberkatan, dia berhati-hati dengan amanah orang ramai itu dan memastikan setiap sen yang disalurkan sampai kepada mereka yang berhak.

“Kami melakukan program ini hampir lima tahun dan tidak jemu demi kepuasan penderma.

“Terima kasih kepada semua penderma kerana mempercayai kami dan diharap ia menjadi contoh buat orang lain ,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 5:20am
d