mutakhir

'Arwah pelawa mak cik ikut serta'

Oleh HM Digital

Bandar Baharu: “Arwah ada ajak mak cik untuk ikut sekali, tapi mak cik menolak kerana perlu jaga dua cucu. Tak sangka pula itu perbualan terakhir mak cik dengan Hasimah,” kata Badariah Adam, 62, ibu kepada Hasimah Saari, yang maut dalam kemalangan yang turut meragut nyawa suami dan anaknya.

Menurutnya, anak ketujuh daripada lapan beradik itu ada mempelawanya untuk turut serta menziarahi jenazah saudara suaminya di Seberang Perai, Pulau Pinang pagi kelmarin.

Bagaimanapun, Badariah menolak pelawaan Hasimah, 32, kerana perlu menjaga dua cucu yang juga anak saudara mangsa.

Oleh kerana dia menolak pelawaan, Hasimah bercadang meninggalkan anak tunggalnya, Anis Umairah, 14 bulan untuk dijaga Badariah.

“Disebabkan Anis Umairah rapat dengan ibunya, mak cik minta Hasimah membawa anaknya sekali ke Seberang Perai.

“Tak sangka pula itu permintaan terakhirnya sebelum mak cik kehilangan anak, menantu dan cucu sekelip mata.

“Luluh hati mak cik, seluruh badan menjadi lemah apabila mendapat berita kemalangan yang menimpa mereka,” kata Badariah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keda Sungai Salleh selepas menerima kunjungan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Dalam kejadian tengah hari kelmarin, Hasimah bersama suaminya Azli Adzali, 46, serta anak perempuan mereka maut di tempat kejadian selepas Proton Satria Neo yang mereka naiki bertembung dengan lori di Jalan Serdang-Kulim dekat Kampung Terap Batu 12, Kulim.

Siasatan awal mendapati kereta dipandu Azli hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan yang datang dari arah Serdang menghala ke Kulim.

Kemalangan itu menyebabkan tiga beranak berkenaan maut di tempat kejadian manakala ayah Hasimah, Saari Man, 71, parah dan dirawat di Hospital Kulim.

Badariah berkata, jenazah tiga beranak itu dikebumikan di Masjid Al Taufik Kampung Sungai Salleh kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Hasimah dan anak perempuan dikebumikan dalam satu liang manakala suaminya disemadikan bersebelahan kubur mereka.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian mereka sekeluarga dan berdoa agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga berdoa supaya suaminya yang dirawat di Hospital Kulim segera sembuh.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 5:22am
d