mutakhir

Dari pelita ke LED

Oleh TNB

Muar: “Kalau dahulu kawasan sekitar kampung agak gelap dan kemudahan lampu jalan hanya dipasang di kawasan strategik seperti di simpang atau lorong masuk ke sesuatu kawasan,” kata penduduk Kampung Bukit Mor, Zaleha Hashim, 62.

Kini, katanya, keadaan banyak berubah dan boleh dikatakan kemudahan lampu jalan terutama di kawasan kampung kini lebih menyeluruh berbanding 10 tahun lalu.

“Alhamdulillah kalau 10 tahun lalu mungkin separuh sahaja kawasan jalan di kampung ini mempunyai lampu jalan.

“Sekarang sudah untung (bertambah baik) kerana kemudahan ini sudah banyak. Dekat rumah saya dan penduduk lain juga mempunyai lampu jalan.

“Kemudahan ini sudah tentu memberi manfaat kerana penduduk kerana boleh melakukan pelbagai aktiviti atau urusan pada waktu malam dengan lebih mudah.

“Kalau dahulu agak sukar untuk melakukan kerja terutama pada waktu malam kerana suasana agak gelap. Pada 1960-an atau 1970-an lagilah gelap dan penduduk pun banyak guna lampu gasolin atau pelita sahaja,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung Negeri Johor di Padang Awam Bukit Mor di sini pada 9 Februari lalu.

Ia disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Zaleha berkata, penduduk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terutama Perdana Menteri yang sentiasa prihatin dengan pelbagai keperluan rakyat secara keseluruhan.

Penduduk Kampung Parit Jawa, Mohd Rizal Ibrahim, 39, bersyukur kerana kemudahan lampu jalan kampung bukan sahaja memberi faedah kepada masyarakat setempat malah kepada nelayan sepertinya untuk mencari rezeki.

“Alhamdulillah, sangat bagus dan keadaan juga tidak gelap seperti dahulu hingga penduduk serta nelayan di kawasan ini boleh melakukan pelbagai urusan dengan mudah.

“Dulu keadaan di sini juga daif. Penduduk setempat dan nelayan terpaksa mengambil inisiatif memasang pelita gantung untuk menerangi persekitaran di sekitar kuala ini, tetapi jumlahnya tidak banyak.

“Tetapi hari ini, keadaan jauh lebih baik dengan lampu jalan semakin banyak.

“Kita berharap kerajaan dan TNB akan menambah lampu jalan pada masa depan kerana ia dapat memberi manfaat yang sangat besar kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, pada program berkenaan, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan TNB kerana Program Lampu Jalan Kampung dan pembangunan kawasan luar bandar termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) amat dekat dengan hatinya.

“Pada majlis ini, saya nak beritahu kerana saya lihat lampu jalan ini kalau kita buat memang suasana dalam kampung itu berubah. Ia jadi lebih ceria, tambah lagi kalau ada lampu LED.

“Jadi hari ini saya nak memaklumkan bahawa kita bersetuju menambah peruntukan untuk lampu kampung seluruh negara melalui dua langkah.

“Pertama TNB peruntukan RM50 juta untuk pemasangan lampu jalan kampung jenis LED dan kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta lagi.

“Ia membabitkan pemasangan 50,000 lampu jalan kampung yang akan memberi manfaat kepada 2.5 juta penduduk kampung di seluruh negara,” katanya.

Hampir 60,000 penduduk dari 16 kampung di daerah ini boleh bergerak dengan lebih selesa dan selamat apabila kawasan yang dahulunya gelap kini diterangi lampu jalan kampung.

Sejak 5 Ogos hingga Disember tahun lalu, sebanyak 183 lampu jalan dipasang menerusi Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung Fasa 8 (LJK8) peringkat negeri Johor.

LJK8 adalah sebahagian daripada program pemasangan 13, 582 unit lampu di 1,556 kampung di Johor menerusi peruntukan sebanyak RM8.33 juta daripada KKLW.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 5:25am
d