mutakhir

Tak perlu fatwa

Oleh Fahmy Azril Rosli

Kuala Lumpur: Tidak perlu fatwa untuk mewajibkan umat Islam mengemukakan dokumentasi dalam proses mewakafkan hartanah meskipun tahap celik wakaf dalam kalangan masyarakat masih rendah.

Ketika ini syarat ditetapkan sudah memadai yang menmerlukan mereka menyediakan dokumen dan perlu mendapatkan kelulusan majlis agama Islam negeri supaya harta itu diuruskan secara cekap dan amanah.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, untuk berwakaf mesti ada bukti dalam bentuk dokumentasi dan ia perlu diserahkan kepada majlis agama Islam negeri masing-masing.

“Tidak perlu (fatwa). Berwakaf adalah sedekah jariah. Tetapi bila orang (nak) wakaf, kena ada peraturan, urusan tanah (dengan majlis agama negeri).

“Bukan makna wakaflah sekiranya tiada bukti (dokumen). Bila hendak wakaf mesti ada bukti, benda ataupun sesuatu dan diserahkan kepada majlis agama Islam. Itu (perkara) biasa, kena ada.

“Wakaf mesti dibuat atas nama majlis agama Islam negeri. Tidak boleh atas nama individu. Kalau atas nama individu dibimbangi tidak selamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas ingatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta umat Islam yang ingin mewakafkan hartanah supaya melakukan dokumentasi.

Menurut Ahmad Zahid, jika proses dokumentasi diabaikan, ia bakal mencetuskan perkara berbangkit pada masa akan datang menyaksikan nilai pasaran tanah wakaf terbiar pada tahun 2009 adalah RM9 bilion dan sekarang meningkat lebih 30 hingga 50 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Prof Datuk Dr Sheikh Sudin Haron berkata, walaupun kadar celik wakaf dalam kalangan umat Islam masih rendah, namun beliau yakin banyak program akar umbi terutama menyasarkan kawasan luar bandar perlu diperhebatkan.

Beliau berkata, untuk berwakaf bukan susah, cuma perlu ke badan wakaf yang mendapat kelulusan majlis agama Islam negeri atau ke majlis agama Islam negeri masing-masing.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 8:54am
d