mutakhir

Tiga sahabat 'Gi Mekoh Nga Mutor'

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: “Walaupun usia menjelang senja tetapi kami mahu buktikan rakyat negara ini mampu menempuhi cabaran dan rintangan dengan hanya menunggang motosikal kapcai untuk sampai Tanah Suci,” kata Diami Yusoff, 58.

Diami bersama dua rakannya, Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, dan Mohd Zalani Zulkifli, 64, berhasrat menunggang motosikal kapcai untuk ke Makkah bagi menunaikan umrah.

Tiga individu berasal dari Kelantan itu merancang perjalanan Gi Mekoh Nga Mutor dengan jarak sejauh 14,000 kilometer dan dimulakan pada 3 November ini.

Diami yang juga presiden kelab motosikal Chopper Garage Kelantan berkata, perjalanan terbabit dijangka mengambil masa dua bulan melalui lapan negara sebelum sampai ke Makkah.

“Perjalanan dijangka bermula dari Kota Bharu dan melalui Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

“Kami memilih motosikal bagi menjimatkan kos. Sebelum ini kita pernah dengar orang ke Makkah dengan berbasikal dan motosikal kuasa besar, tetapi kami mahu mencipta kelainan khususnya penunggang dari Kelantan,” katanya, semalam.

Menurutnya, rancangan itu bukan untuk meraih populariti atau mendapat perhatian dan penghargaan dari mana-mana pihak.

“Sebaliknya kami merasakan seruan ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah sudah tiba dan kudrat ini kami mahu gunakan ke jalan diredai Allah.

“Selain itu, kami mahu menyelami kesukaran orang zaman dahulu ke Makkah menerusi pelbagai alternatif, ada menggunakan unta, kapal laut dan sebagainya,” katanya.

Diami berkata, dia berpengalaman menunggang motosikal di pelbagai negara terutama di Asia Tenggara termasuk ke Leh, Ladakh, India yang merupakan puncak tertinggi dunia yang boleh dilalui kenderaan dengan ketinggian 5,600 meter dari aras laut pada 2016.

“Mohd Zalani pula mekanik yang mahir dengan pengalaman lebih 40 tahun membaiki motosikal selain pernah menunaikan haji sebelum ini.

“Jadi, kami berkongsi pengalaman masing-masing bagi memastikan misi ini berjaya dan kami dapat sampai ke destinasi serta pulang dengan selamat,” katanya.

Menceritakan mengenai kos perjalanan terbabit, Diami berkata, perbelanjaan bagi perjalanan pergi dan balik mencecah RM120,000.

Katanya, pihaknya juga membuat persiapan kewangan bagi menampung perbelanjaan.

“Tetapi, kami mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi menyumbang bagi melancarkan perjalanan.

“Pelancaran awal projek Gi Mekoh Nga Mutor ini dilaksanakan Menteri Besar Kelantan sempena Karnival Halal Asia di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu pada 10 Mac ini dan kami turut melancarkan jualan baju-T bersama pelekat Gi Mekoh Nga Muto bagi menampung kos tambahan luar jangka sekali gus memberi peluang kepada masyarakat khususnya peminat jentera dua roda untuk menyumbang sebagai saham akhirat,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 9:00am
d