mutakhir

Lelaki kudung dituduh bunuh [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

Klang: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, semalam atas pertuduhan membunuh kawan baik nya pada 3 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Tan Peng Boon, 50, di hadapan Majistret Nor Asma Datuk Ahmad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kudung kaki kanannya didakwa membunuh Lim Boon Ann, 55, di rumah Jalan Arang, Pandamaran jam 6 petang, 3 Februari lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Abd Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nor Asma kemudian menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat kesan luka di dada kanan dipercayai ditikam dengan senjata tajam.

Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli sebelum ini dilaporkan berkata, terdahulu mangsa ditemui rebah di hadapan rumahnya sebelum seorang jiran berusia 48 tahun meminta bantuan orang ramai dan membawa mangsa ke hospital.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu berlaku selepas suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang sering mengejeknya kerana dia kudung kaki sebelah kanan.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 9:25am
d