mutakhir

Penyamun 4 beradik kantoi [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Kegembiraan empat beradik meraikan kejayaan merompak barang kemas bernilai RM100,000 dari sebuah kedai emas di sini Sabtu lalu hanya bertahan tiga hari apabila dicekup polis.

Kumpulan penyamun bersaudara termasuk seorang perempuan itu menyangka mereka berjaya cuci tangan daripada jenayah berkenaan tanpa menyedari pemilik kedai emas itu merakam gambar seorang daripada mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, dua lelaki bertopi keledar dan memakai penutup mulut menyerbu ke dalam premis berkenaan yang terletak di Jalan Kota di sini.

Beliau berkata, seorang daripada suspek kemudian memecahkan cermin pameran menggunakan tukul besi sambil meletakkan sepucuk pistol di atas meja.

Beliau berkata, empat pekerja berada di dalam premis itu sewaktu rompakan berlaku, tetapi mereka tidak berani berbuat sesuatu kerana bimbang dicederakan.

“Seorang lagi suspek kemudian memasukkan barangan kemas itu ke dalam beg silang sebelum mereka melarikan diri bersama hasil samun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, semalam.

Menurut Mior Farid, kumpulan perompak itu tidak menyedari pemilik premis berkenaan merakam gambar seorang daripada dua lelaki berkenaan dua jam sebelum kembali ke kedai itu untuk menyamun.

Beliau berkata, pemilik kedai merakam gambar lelaki berkenaan menggunakan telefon pintarnya apabila menghidu tindak-tanduk mereka yang mencurigakan.

“Susulan kejadian itu, pemilik premis menyerahkan gambar lelaki itu kepada polis ketika tampil membuat laporan berhubung kejadian rompakan,” katanya.

Mior Farid berkata, berpandukan gambar diberikan itu, polis mengesan suspek dan menahan dua adik beradik lelaki di Sungai Petani pada Selasa.

Berikutan penahanan mereka, polis turut membuat tangkapan susulan terhadap seorang lagi saudara lelaki dan kakak mereka di sebuah rumah di Kulim.

“Kita juga berjaya merampas sebahagian barangan kemas dan sepucuk pistol tiruan yang digunakan dalam kejadian samun itu.

“Kejayaan ini adalah hasil pertemuan polis dengan semua pemilik kedai emas sebelum ini untuk memberi nasihat berhubung langkah pencegahan bagi mengelak berlaku kejadian samun khususnya ketika musim perayaan Tahun Baru Cina ini,” katanya.

Mior Farid berkata, semua empat beradik berkenaan kini direman selama lima hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 9:43am
d