mutakhir

Nanas kipas bawa 'tuah' jadi buruan

Oleh HM Digital

Sarikei: Ia kelihatan seperti nanas biasa, namun bentuknya yang seakan-akan kipas menjadikannya cukup unik dan ‘diburu’ masyarakat Cina di Sarawak, terutama menjelang Tahun Baru Cina.

Disebabkan bentuknya yang unik, ada pembeli sanggup menawarkan harga tinggi, malah hingga mencecah ratusan ringgit sebiji kerana percaya ia mampu membawa tuah.

Bagi peniaga, Wong Siew Mei, 28, nanas kipas dalam keluarganya menjadi simbol tuah, selain membawa rezeki berlipat ganda kepada si pemiliknya.

“Ada kata macam kipas, ada juga yang kata seperti naga. Bagi masyarakat Cina, terutama etnik Tionghua, naga adalah makhluk mitos yang membawa khabar gembira.

“Malah, ia menjadi simbolik kemahsyuran, kekayaan dan kejayaan individu. Justeru, tidak hairan jika ada yang sanggup menawarkan harga tinggi untuk memilikinya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Petani, Hii Seng Chong, 56, yang mengusahakan tanaman itu berkata, anak benih nanas kipas atau nanas naga itu mudah didapati di beberapa kawasan di Sarawak seperti Sarikei, Bintangor, Sibu, Miri, Bintulu dan Lawas.

Bagaimanapun, katanya, hanya mereka yang benar- benar bertuah boleh memilikinya kerana setiap benih lazimnya mengeluarkan buah nanas biasa.

“Buah pertama berasal daripada baka sama seperti nanas biasa. Bagaimanapun, pemiliknya akan menjadi lebih teruja apabila nanas ini berbuah kali kedua. Ini kerana, buah kedua biasanya lebih besar dan menarik,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 9:46am
d