mutakhir

Ibu bapa bayi 47 hari direman [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

SUAMI isteri berusia 22 tahun yang juga bapa dan ibu kepada bayi perempuan 47 hari yang maut dipercayai didera, direman tujuh hari bermula hari ini.

Kedua-dua mereka dibawa polis ke Mahkamah Bukit Mertajam pagi ini untuk direman selepas ditahan polis malam tadi.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Nor Hapipah Abdullah.

Semalam, seorang bayi perempuan berusia 47 hari maut selepas dipercayai didera keluarganya di Kampung Tok Panjang, 10.45 pagi.

Dalam kejadian itu bapa mangsa berusia 22 tahun menyedari anak keduanya tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia di klinik berdekatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, bayi berkenaan dilahirkan pada 30 Disember tahun lalu secara normal dengan berat 2.66 kilogram.

"Mangsa sebelum itu hanya minum sedikit susu dan tidak mahu terus minum. Bapanya juga mendapati anaknya semakin lemah dan membawanya ke Klinik Pakar Kanak-Kanak KS 1 di Sungai Rambai di sini," katanya.

Menurutnya, doktor di situ memberitahu denyutan jantung bayi semakin lemah dan menyuruhnya membawa mangsa ke hospital.

"Dalam perjalanan ke hospital, bapa mangsa mendapati tiada pergerakan pada badan anaknya.

"Dia dan isterinya kemudian membawa bayi berkenaan ke klinik itu semula sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan hasil pemeriksaan x-ray mendapati terdapat kesan kecederaan serta lebam pada kepala leher dan kakinya.

"Difahamkan, satu daripada kaki mangsa juga patah, namun polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijangka dilakukan hari ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan

Bayi baru 47 hari maut didera?

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 11:53am
d