mutakhir

Jiran selalu dengar bayi menangis

Oleh Nur Izzati Mohamad

JIRAN bayi berusia 47 hari yang meninggal dunia dipercayai akibat didera semalam, mendakwa kerap mendengar tangisan anak kecil sejak bayi perempuan itu lahir.

Enggan mendedahkan identiti diri, seorang jiran yang ditemui ketika tinjauan di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, berkata, dia yang tinggal dekat dengan rumah keluarga bayi itu sentiasa mendengar tangisan kuat namun, tidak mengesyaki apa-apa.

Katanya, dia menganggap tangisan itu hanya biasa sahaja bagi bayi yang baharu lahir tetapi terkejut sebaik mendapat berita kematian anak kecil berkenaan.

“Saya kerap mendengar bayi mereka menangis kuat tetapi tak mengesyaki apa-apa kerana sangka itu tabiat biasa bagi bayi yang baru lahir.

“Ibu bapa bayi ini pula tidaklah rapat sangat dengan keluarga saya tetapi melalui perwatakan mereka, saya lihat mereka agak mesra dan sering menegur saya setiap kali keluar,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Difahamkan, pasangan suami isteri berusia 22 tahun itu menetap bersama dua anak mereka di kampung berkenaan sejak empat tahun lalu dengan menumpang di rumah keluarga.

Setakat ini, usaha untuk menemubual ahli keluarga yang lain gagal kerana mereka enggan ditemui media.

Dalam kejadian 10.45 pagi semalam, bayi terbabit maut disyaki akibat didera keluarganya berikutan terdapat kecederaan serta lebam pada kepala, leher dan kakinya.

Bapa mangsa yang juga seorang pemandu lori menyedari anak bongsunya itu tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia di klinik berdekatan.

Sehubungan itu, polis menahan ibu bapa bayi terbabit dan kedua-dua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan

Bayi baru 47 hari maut didera?

Ibu bapa bayi 47 hari direman [METROTV]

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 1:49pm
d