mutakhir

'Jangan percaya iklan seperti ini'

Oleh Rosliza Mohamed

SEBANYAK 400 banting, kain rentang dan papan iklan yang mempromosikan pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ diturunkan pihak berkuasa di sekitar Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, pihaknya dengan kekuatan 20 pegawai dan anggota menjalankan operasi itu dengan kerjasama bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bermula 9 hingga 11 malam.

"Ini adalah operasi yang pertama dijalankan pada tahun ini dan dalam tempoh dua jam, kita berjaya menurunkan 400 iklan haram ini.

"Kita akan teruskan operasi seperti ini dari semasa ke semasa sebagai usaha membanteras kegiatan pinjaman wang secara haram oleh pemberi pinjaman tidak berlesen itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, menerusi operasi itu tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, berhubung terus dengan pihak polis.

"Kita juga nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan seperti ini dan hanya meminjam daripada peminjam wang berlesen sahaja," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 2:03pm
d