mutakhir

Ditahan tika leka tangkap ikan

Oleh Suzianah Jiffar

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama sembilan kru warga Filipina berhampiran perairan Pulau Mabul, Semporna, semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang, semua kru bot yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Pengarah Maritim Malaysia Pangkalan Maritim Semporna Leftenan Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, bot ronda yang membuat rondaan terserempak dengan sebuah bot nelayan tempatan sedang menangkap ikan.

“Pemeriksaan mendapati sembilan awak-awak yang berada dalam bot nelayan itu tidak mempunyai dokumen sah, manakala nama juragan bot tidak sama seperti dalam syarat lesen.

“Selain itu, kita juga mendapati bot terbabit membawa hasil tangkapan pelbagai jenis ikan seberat kira-kira 300 kilogram (kg),” katanya.

Menurutnya, bot itu dipercayai dari Pulau Mabul dalam perjalanan menuju ke Jeti Kampung Simunul, Semporna.

“Semua sembilan kru bot yang ditahan dipercayai warga Filipina mengikut akuan mulut masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 5:22pm
d