mutakhir

Ruam bukan kesan cabul

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI yang ditahan kerana didakwa mencabul bayi perempuannya berusia 12 bulan dibebaskan selepas siasatan mendapati kesan kemerahan pada kemaluan mangsa adalah ruam.

Lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai buruh itu dibebaskan semalam sebaik tempoh reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berakhir.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan dijalankan di hospital mendapati kesan kemerahan pada kemaluan mangsa adalah ruam dan bukannya akibat dicabul.

Katanya, tempoh reman terhadap lelaki terbabit yang berakhir semalam tidak disambung dan dia dibebaskan kerana pemeriksaan mendapati tiada kesan cabul pada kemaluan seperti yang didakwa ibu mangsa berusia 28 tahun.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bapa ditahan apabila disyaki mencabul bayi perempuannya berusia 12 bulan.

Ibu mangsa menyedari perubahan terhadap anak perempuannya itu selepas kerap menangis ketika mencuci kemaluannya pada Isnin lalu.

Difahamkan, mangsa dijaga secara bergilir-gilir oleh pasangan berkenaan yang kini menetap secara berasingan berikutan dalam proses perceraian, sejak November lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mengesahkan lelaki terbabit dibebaskan sebaik menerima pengesahan perubatan daripada hospital.

Disiarkan pada: February 17, 2018 @ 6:00pm
d