mutakhir

Mayat budak disangka kayu

Oleh Azlan Hafeedz

“Mace (Macam) ore (orang) tetapi sekali tengok mace kayu,” kata nelayan pesisir pantai, Zulhaimi Abdullah, 54, yang menemui mayat kanak-kanak lemas ketika mandi di Kampung Tok Bali, semalam.

Mayat Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, ditemui 9.45 pagi hari ini, kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang di Kampung Tok Bali, Pasir Puteh.

Dalam kejadian 10.30 pagi semalam, lima sekeluarga lemas ketika mandi di Pantai Tok Bali.

Mayat ibu Khaizuran, Yusnina Yaacob, 38, dan kakaknya, Zulaikha, 10, serta bapa saudaranya, Yazul Bahari, 46, dan anaknya, Yasmin Nor Aliza, 10, ditemui semalam.

Zulhaimi berkata, dia dan rakannya, Ab Kadir Mat Hassan, 63, dari Kampung Kandis, Bachok, ke kawasan sekitar Tok Bali untuk memukat ikan.

Katanya, pada masa sama mereka turut mengambil kesempatan membantu mencari mangsa terakhir yang dilaporkan hilang di kawasan berhampiran.

“Hampir dua jam berada di kawasan itu, kami ternampak objek terapung dan menyangka kayu namun, sebaik dihampiri objek itu adalah kanak-kanak yang lemas.

“Kami cepat-cepat menahan mayat itu dengan pukat bagi mengelakkannya daripada hanyut.

“Sayu hati kami melihat keadaannya sebelum menutup mayat dengan kain dan membawanya ke jeti seterusnya diserahkan kepada polis,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Abd Rozak Mohammad berkata, mayat terakhir itu ditemui dua nelayan sebelum dibawa ke jeti.

Katanya, hasil pengecaman keluarga, mayat disahkan sebagai Khaizuran iaitu mangsa kelima dalam kejadian lemas semalam.

“Kanak-kanak lelaki itu lengkap berpakaian dengan memakai baju T berwarna hijau bertulisan ‘Thailand’ berdasarkan keterangan bapanya, Suhaimi Mohamed, 43.

“Hasil penemuan itu, operasi mencari dan menyelamatkan dihentikan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua agensi terbabit,” katanya.

Berita berkaitan:

‘Empat sekeluarga satu liang lahad [METROTV]

‘Mereka terkapai-kapai, minta diselamatkan...’

Semoga adik Khaizuran ditemui

Empat sekeluarga lemas

Disiarkan pada: February 17, 2018 @ 6:16pm
d