mutakhir

Pegawai polis China ditemui mati

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

PEGAWAI polis Republik China ditemui mati di bilik rumah di Jalan Terubuk 3, Kahang, Kluang, 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mangsa dikenali sebagai Wang Weihang, 37, ditemui rakannya ketika cuba mengejutkan lelaki itu daripada tidur.

“Pengadu berusia 52 tahun mengetuk pintu bilik di rumah berkenaan dan memanggil nama mangsa, namun tiada tindak balas daripadanya.

“Pengadu kemudian cuba melihat melalui tingkap dan mendapati rakannya terbaring di atas katil lalu memecahkan pintu bilik untuk memberikan bantuan.

“Bagaimanapun, rakannya itu sudah meninggal dunia dan pengadu datang ke Balai Polis Kahang untuk membuat laporan mengenai kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tiada kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa dan menurut pengadu, mangsa tidak mempunyai penyakit.

Katanya, pengadu memberitahu mangsa kerap tidur lewat, malah pernah tidak tidur langsung selain mengenalinya hampir tujuh tahun lalu.

“Pengadu memaklumkan mangsa datang ke Malaysia sejak November lalu dan dibicarakan di Mahkamah Majistret Kluang sejak 12 Disember lalu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pada masa sama, mahkamah memerintahkan pasport antarabangsa mangsa ditahan sehingga kesnya selesai,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Besar Enche’ Besar Hajjah Khalsom, untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Disiarkan pada: February 17, 2018 @ 11:37pm
d