mutakhir

Nahas berselisih

Oleh Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: Sembilan termasuk tiga kanak-kanak cedera sejurus dua kenderaan terbalik di Kilometer 398, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Ipoh berhampiran susur keluar Plaza Tol Behrang, Perak.

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim Azizul Rahman berkata, kejadian jam 9 pagi semalam, membabitkan Toyota Avanza dinaiki enam sekeluarga dan Proton Saga dinaiki tiga individu yang dipercayai dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.

“Kami terima panggilan kecemasan jam 9.34 pagi semalam. Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami dapati semua mangsa keluar dari kenderaan masing-masing bagi menyelamatkan diri.

“Berdasarkan maklumat awal, dua kenderaan dari arah sama itu berlanggar sebelum terbabas dan terbalik di tengah lebuh raya,” katanya.

Azizul berkata, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Slim River, Perak.

“Operasi ditamatkan jam 10.24 pagi sebaik semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai memaklumkan mangsa belum membuat laporan berhubung kemalangan itu.

Menurutnya, polis masih belum dapat memastikan bagaimana kemalangan itu berlaku dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 7:44am
d