mutakhir

Duka seorang datuk

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: “Saya sentiasa menasihati anak lelaki serta menantu setiap kali terdengar bayi mereka menangis namun tidak sangka jadi seperti ini.”

Demikian kata datuk kepada bayi perempuan berusia 47 hari yang meninggal dunia dipercayai didera ibu bapanya, Khamis lalu.

Dia yang mahu dikenali sebagai Saidon, 57, berkata anak lelaki bongsunya itu menetap bersamanya sebaik suspek mendirikan rumah tangga empat tahun lalu.

Katanya, rumah tangga pasangan itu tampak tiada masalah sehingga mereka dikurniakan cahaya mata pertama yang kini berusia setahun dua bulan.

“Mereka tidak berperwatakan yang di luar jangka, kalau gaduh itu biasalah bila berada dalam kehidupan berumah tangga.

“Namun, apabila mereka mendapat anak kedua, saya mula pelik selepas kerap mendengar bayi menangis dan menasihati supaya menjaga anak elok-elok serta memaklumkan jika perlukan apa-apa pertolongan, namun terkejut apabila cucu saya itu pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tok Panjang, di sini, semalam.

Terdahulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengunjungi rumah keluarga berkenaan dan mahu mengambil anak sulung kedua-dua suspek untuk jagaan sementara, namun kakak kepada suspek lelaki meminta supaya anak saudaranya itu berada di bawah jagaannya.

Saidon berkata, dia terkejut dengan laporan bedah siasat berhubung kejadian menimpa cucunya dan menyerahkan segala siasatan kes kepada pihak polis.

“Apa yang sudah berlaku saya reda dan serahkan segala-galanya kepada polis untuk menyiasat dan saya juga sudah memberi keterangan pada malam anak serta menantu saya ditahan.

“Saya tidak tahu apa masalah sebenar anak dan menantu saya hadapi apatah lagi saya tidak pernah nampak dia panas baran yang mana jika dia berkelakuan sebegitu sudah tentu anak pertamanya turut menjadi mangsa,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, Nurul Ain Umairah Muhamad Firdaus maut dipercayai akibat didera ibu bapanya dan mayatnya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), dekat sini, untuk proses bedah siasat.

Laporan bedah siasat mendapati anak bongsu daripada dua beradik itu maut akibat pendarahan otak, patah kedua-dua belah rusuk selain terdapat kesan lebam, calar dan gigitan pada seluruh anggota badan.

Berikutan itu, ibu bapa mangsa direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 8:15am
d