mutakhir

Kenapalah biadap sangat !

Oleh Fazrik Kamarudin

SEORANG lelaki ditahan kerana dipercayai menghina tugas polis selepas disaman atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Baru Selayang, Batu Caves kira-kira jam 2 pagi tadi.

Turut dirampas, sebuah telefon bimbit milik suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa, berkata suspek ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas menerima aduan berkenaan satu muat naik di Facebook.

"Lelaki itu dipercayai tidak puas hati dengan tindakan dua anggota polis mengeluarkan saman selepas suspek bersama rakannya tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal di Taman Desa Bakti, jam 6.30 petang semalam.

"Kira-kira pada jam 10.45 malam, seorang daripada anggota polis yang menahan dan mengeluarkan saman kepada suspek dimaklumkan menerusi aplikasi Whatsapp mengenai sebuah akaun Facebook memuat naik gambarnya dengan kenyataan menghina tindakannya.

"Anggota berkenaan membuat laporan polis selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rafiq berkata, suspek mengaku merakam gambar ketika saman dikeluarkan dan memuat naik ke laman Facebook.

Katanya, suspek berbuat demikian bagi tujuan menjatuhkan imej polis kerana tidak puas hati dan marah akibat disaman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia," katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 9:39am
d