mutakhir

Terjaga akibat bahang panas

Oleh Khalid Latip

BAHANG panas yang disusuli letupan kuat menyelamatkan seorang pekerja daripada rentung dalam kebakaran membabitkan tiga unit kedai di Bintangor, awal pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor Nicholas Belulin berkata, dalam kejadian pada 3 pagi, mangsa, 20-an, sedang nyenyak tidur di tingkat satu bangunan itu sebelum terjaga kerana merasai bahang panas.

Katanya, mangsa yang terkejut kemudian bergegas keluar daripada bangunan berkenaan untuk menyelamatkan diri.

“Seramai 14 anggota dengan dua jentera dari BBP Bintangor dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.22 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, api masih marak, namun kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.54 pagi. Operasi itu turut dibantu oleh anggota dari BBP Sarikei, ” katanya.

Katanya, kebakaran menyebabkan tiga kedai yang terletak di tingkat bawah bangunan itu musnah kira-kira 80 peratus.

“Operasi pemadaman menggunakan sokongan daripada air sumber terbuka kerana kami menghadapi masalah tekanan air rendah pada pili bomba.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pihak bomba sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian," katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 10:35am
d