mutakhir

Gantung diri selepas bunuh rakan

Oleh Mohd Hasbi Sidek

PEKERJA lelaki warga India, 32, ditemui mati apabila menggantung diri selepas membunuh rakan sekerjanya di sebuah kedai runcit di Taman Selayang, Batu Caves, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah malam, polis mendapati seorang lelaki, 42, yang juga pemilik kedai runcit parah dipercayai akibat cuba meleraikan pergaduhan pekerjanya.

Sumber polis berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berhubung kejadian selepas terdengar kekecohan di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan polis, seorang daripada pekerja berusia 51 tahun ditemui sudah meninggal dunia di bahagian belakang kedai dengan kesan tikaman.

"Siasatan awal juga mendapati seorang lagi pekerja bertindak menggantung diri di hadapan kedai runcit itu selepas menikam rakan sekerjanya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan kejadian, berkata motif insiden masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 12:14pm
d