mutakhir

Bot penumpang langgar peraturan

Oleh Junaidi Ladjana

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan enam bot penumpang tanpa lesen operasi dan membawa penumpang lebih muatan dalam operasi khas di perairan Rampayan, Kota Belud, semalam.

Pengarah APMM Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, dalam operasi berkenaan, bot ronda APMM menahan dan memeriksa enam bot penumpang antara 10 pagi hingga 11.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan, tiga daripada bot itu didapati membawa penumpang melebihi had yang ditetapkan.

“Tiga lagi bot masing-masing disyaki gagal menunjukkan lesen, manakala nama juragan tidak seperti dalam lesen bot,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, semua bot penumpang yang ditahan dibawa masuk ke Jeti Teluk Usukan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS),” katanya.

Sementara itu, Adam berkata, operasi khas sempena Tahun Baru Cina membabitkan 16 anggota termasuk pegawai bertujuan memastikan bot pelancong berdaftar dan mematuhi syarat lesen ditetapkan.

“Ini bagi memastikan keselamatan pelancong sentiasa dititikberatkan pengusaha dan pengendali bot kerana pada waktu ini ramai pelancong mengambil kesempatan bercuti ke Pulau Mantanani.

“Saya perhatikan sikap pengusaha bot penumpang masih tidak mengambil iktibar terhadap kejadian bot penumpang yang karam sebelum ini, dan nampaknya tidak memberi kesedaran kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 1:20pm
d