mutakhir

Untungnya tetamu dapat sekampit beras 5kg

Oleh Azlan Hafeedz

MAJLIS perkahwinan Mohd Nasruddin Azmi dan pasangannya, Nor Suhaida Mohamad di Taman Sri Lichong, Gaal, di Pasir Puteh hari ini ‘diserbu’ orang ramai apabila semua tetamu yang hadir diberi sekampit beras lima kilogram (kg) sebagai cenderahati oleh bapa pengantin lelaki.

Majlis kesyukuran yang mencipta kelainan itu menyebabkan jalan untuk ke rumah pengantin sesak sejauh dua kilometer.

Bapa kepada pengantin lelaki, Azmi Mohd Noor berkata, sebanyak 7,000 kampit beras disediakan sebelum diagihkan kepada semua tetamu yang hadir sebagai buah tangan.

Malah katanya, majlis meraikan anak sulung daripada tiga beradik itu menyediakan 17 gulai kawah membabitkan lima ekor lembu, tujuh ekor kambing bakar dan 500 ekor ayam yang semuanya dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk kampung seawal jam 6 pagi.

“Alhamdulillah majlis menyambut menantu berjalan lancar dan kediaman kami dipenuhi dengan tetamu yang hadir. Idea untuk memberi beras kepada semua tetamu bagi menghargai mereka yang datang sambil beramal,” katanya ketika ditemui di Pasir Puteh.

Azmi yang juga Pengerusi Yayasan Fatimah Azzahra berkata, pada majlis meraikan anak sulungnya berusia 25 tahun itu, dia menjemput seramai 7,000 tetamu termasuk kenalan rapat.

“Memandangkan bukan selalu saya mengadakan kenduri, kali ini saya membuat majlis besar-besaran bagi meraikan semua yang hadir. Apa yang saya lakukan ini bukan untuk meraih populariti, sebaliknya hanya mahu meraikan tetamu.

“Saya bersyukur kerana majlis kali pertama dirancang berjalan lancar tanpa masalah. Malah saya lihat semua mereka yang menerima beras tersenyum gembira,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 6:06pm
d