mutakhir

PAN akui hasil kajian Politweet

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PARTI Amanah Negara (PAN) menerima secara terbuka sebarang maklumat atau kajian yang menyebelahi kepimpinan kerajaan, kata Timbalan Presiden PAN Salahuddin Ayub.

Katanya, memang ada dapatan dalam kajian media sosial yang berpihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendahului bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya terbuka untuk menerima apa-apa maklumat daripada kajian di media sosial. Saya terima mana-mana kajian yang mungkin menyebelahi Najib tetapi ada juga kajian sosial yang menyebelahi Dr Mahathir.

“Bagi saya ini perkara biasa, kerana apa yang saya lihat kajian masa kini, jika ia menunjukkan Dr Mahathir mendahului, peratusnya kecil, begitu juga kalau Najib mendahului angkanya juga kecil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian firma penyelidik media sosial, Politweet yang menyatakan pengguna media sosial di Johor lebih tertarik kepada Najib berbanding Dr Mahathir.

Kajian itu sekali gus menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan terus menguasai Johor pada PRU-14.

Menurut Salahuddin, kajian yang dibuat hanya ibarat lampu suluh yang dapat menerangi sekiranya tiada panduan dalam membuat pilihan.

“Kajian ini untuk beri panduan sahaja, apa yang penting orang politik harus melihat dengan teliti gerakan arus di bawah, khususnya apa yang paling ditakuti adalah arus senyap.

“Arus senyap ini biasanya nampak macam tiada apa-apa, tetapi sudah banyak kali berlaku di mana tiba-tiba ada perubahan besar, ini yang kita harus lebih teliti,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 7:55pm
d