mutakhir

Pelik ibu bungkus makanan setiap hari

Oleh Muhammad Apendy Issahak

“SEJAK seminggu lalu ibu berkelakuan pelik apabila setiap hari membungkus makanan untuk saya bawa pulang dan arwah jarang melakukannya sebelum ini,” kata Muhd Rohaizad Azizan, 32.

Anak sulung kepada Allahyarham Wan Teh Abdul Aziz, 54, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 45.4, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat sini tengah hari tadi itu membabitkan kereta Audi, Nissan Frontier dan Perodua Kenari.

Kemalangan jam 1 tengah hari itu turut mengorbankan adiknya Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17, serta dua lagi mangsa yang menaiki Nissan Frontier.

Menurutnya, ibu dan ayahnya Azizan Desa, 60, ke Kelantan bersama seorang lagi adiknya Nurul Khairulnissa Azizan, 19, untuk menghadiri kenduri kahwin menaiki kereta Audi dipandu bapanya.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan ibu dan adik bongsu pada Khamis lalu dan tidak sempat bertemu mereka sebelum bertolak ke Kelantan kerana saya juga pergi bercuti bersama anak dan isteri.

“Pada jam 2 petang hari ini saya dapat panggilan telefon daripada individu memaklumkan keluarga saya terbabit kemalangan sebelum bergegas ke Hospital Gerik dan tiba kira-kira jam 6 petang.

“Saya dimaklumkan oleh adik perempuan yang terselamat, ayah sedar sepanjang kejadian berlaku sehinggalah dirawat di hospital dan diberi ubat penenang kerana dipercayai mengalami pendarahan dalaman serta terpaksa dipindahkan ke Hospital Taiping,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik hari ini.

Menurutnya, walaupun sedih kehilangan ibu yang memang rapat dengannya serta adik bongsu dia reda apa yang berlaku.

Katanya, jenazah ibu dan adiknya itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah berhampiran dengan kediaman ibu bapanya itu di Bandar Perdana.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 11:13pm
d