mutakhir

Kenangan pilu Tahun Baru Cina

Oleh Iskandar Shah Mohamed

SAMBUTAN Tahun Baharu Cina bertukar suram bagi penduduk Kampung Bagan Hailam, Pelabuhan Klang apabila 13 rumah setinggan atas air dihuni mereka musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, sebahagian besar daripada mangsa berbangsa Cina berkenaan tiada di rumah kerana keluar beraya dan makan malam bersama keluarga.

Api yang marak mengakibatkan semua kediaman berstruktur kayu berusia lebih 100 tahun itu hangus sepenuhnya sehingga menyebabkan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun, tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berdekatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana@Azlan Musa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 10.23 malam.

"Seramai 42 pegawai dan anggota bersama lima jentera serta tiga tangki air dari Balai Bomba Pelabuhan Klang, Shah Alam, Sungai Pinang, Sri Andalas dan Sungai Buloh dikerah memadamkan kebakaran itu.

"Setibanya di tempat kejadian, api didapati sedang marak memusnahkan semua rumah itu. Namun, sebahagian besar penghuni tiada di situ," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu berjaya dikawal pihaknya pada 11.55 malam dan padam sepenuhnya, 1 pagi tadi.

Juyana berkata, punca sebenar kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Soh Eng Chew, 48, berkata, dia terkejut melihat cahaya terang luar biasa ketika berada di tokong berdekatan.

"Bagi mendapatkan kepastian, saya segera mengajak beberapa penduduk kampung lain menuju ke lokasi itu dan terkejut melihat kebakaran berkenaan.

"Namun, kebakaran itu tidak merebak ke rumah saya yang berada sederet dengan lokasi berkenaan. Sebahagian besar daripada penghuni keluar beraya di sekitar daerah ini," katanya yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kawasan itu.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 9:15am
d