mutakhir

Dah mabuk, sogok pula [METROTV]

Oleh Junaidi Ladjana

PENIAGA wanita direman empat hari bermula hari ini selepas dipercayai memberi sogokan RM1,200 kepada pegawai polis sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Hakim Afiq Agoes terhadap wanita berusia 27 tahun itu di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Wanita itu direman bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basiruddin.

Sebelum ini, wanita itu ditahan pada 4.46 pagi semalam selepas memberi suapan wang kepada pegawai polis dari Bahagian Siasatan dan Penguat kuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan operasi di Jalan Coastel di Kota Kinabalu.

Suspek berasal dari Sarawak dipercayai berbuat sedemikian sebagai balasan supaya polis tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan dengan dipengaruhi alkohol.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 11:39am
d