mutakhir

Masih ada lagi pemburu kejam?

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TIGA bangkai penyu ditemui terapung dalam keadaan perut terburai dipercayai isinya diambil sebelum dibuang ke laut, kira-kira dua kilometer dari Pulau Mabul, Semporna, hari ini.

Bangkai spesies penyu hijau itu ditemui pada 9.20 pagi oleh jurugambar sambilan dikenali sebagai Joe, 34, ketika membawa sekumpulan pelancong China untuk ke pulau berhampiran.

Joe ketika dihubungi berkata, dia tidak mengalihkan bangkai penyu terbabit kerana sedang membawa pelancong dan bimbang jika mereka rasa kurang selesa melihat hidupan marin itu dibunuh.

"Perkara seperti ini boleh menjejaskan imej Semporna yang terkenal dalam sektor pelancongan khususnya keindahan marin serta kepelbagaian hidupan laut," katanya.

Joe berkata, ini kali kedua penemuan bangkai penyu berhampiran Pulau Mabul selepas tujuh bangkai penyu hijau diikat antara satu sama lain ditemui hanyut berhampiran resort di Pulau Mabul, tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat berhubung penemuan tiga bangkai penyu terbabit dan sudah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan.

"Saya sangka beberapa individu sudah dipenjara (berkaitan pembunuhan penyu) masalah ini tidak akan berulang. Namun masih ada lagi pemburu (penyu) di daerah terbabit," katanya.

September tahun lalu, kira-kira 100 rangka penyu hijau ditemui di kawasan semak berhampiran pantai Kampung Pantau-Pantau, Kampung Amboh-Amboh dan Kampung Sampilan di Pulau Bum-Bum, Semporna, disusuli penemuan tujuh bangkai penyu di perairan Pulau Mabul, beberapa hari kemudian.

Jabatan Hidupan Liar Sabah percaya pemburuan haram terhadap hidupan marin itu dilakukan oleh golongan Bajau Laut atau dikenali nomad laut.

Pada pertengahan Oktober 2017, dua lelaki warga Filipina masing-masing dihukum penjara empat tahun dan denda RM150,000 selepas mengaku bersalah memiliki 97 kilogram cangkerang dan bahagian bangkai penyu hijau (Chelonia mydas) tanpa permit.

Bulan lalu, seorang lagi lelaki warga Filipina dipenjara tiga tahun dan denda RM60,000 selepas mengaku bersalah memiliki empat potong cengkerang penyu hijau iaitu hasil haiwan dilindungi tanpa permit.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 12:22pm
d