mutakhir

Lokasi sabung ayam dimusnahkan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

LOKASI sabung ayam di dalam hutan Sebuyau di Simunjan gagal mengaburi pihak berkuasa selepas kawasan itu diserbu polis, kelmarin.

Serbuan dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak diketuai Asisten Superintendan Rudy Garit pada 4 petang hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua JSJ Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, seramai 21 lelaki berusia 24 hingga 70 tahun ditahan ketika sedang leka menyabung ayam di sebuah pondok yang dibina di kawasan berkenaan.

Menurutnya, polis turut merampas dua ekor ayam jantan hidup dan dua ekor yang sudah mati dipercayai selepas disabung sebelum polis menyerbu kawasan berkenaan.

Katanya, pihaknya turut membakar pondok digunakan untuk menyabung ayam bagi mengelak aktiviti sama dijalankan semula di kawasan sama pada masa akan datang.

"Pada masa sama, polis menyerbu dua lagi lokasi di Miri dan Kota Samarahan sebelum menahan sembilan individu yang menyertai sabung ayam," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan sepanjang minggu lalu, polis turut menahan 34 lelaki yang terbabit dalam perjudian 'holo' di Miri, Sarikei, Serian, Sibu dan Bau selain merampas wang tunai berjumlah RM6,014.

Katanya, polis turut menjalankan operasi jualan loteri haram sebanyak 18 serbuan, judi atas talian (lima), judi di pusat hiburan (tiga) dan judi di tempat terbuka (empat).

"Secara keseluruhan polis menahan 91 individu masing-masing 80 lelaki dan 11 wanita berusia 19 hingga 70 tahun atas pelbagai kesalahan membabitkan perjudian.

"Semua yang ditahan akan disiasat atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan 1952," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 2:51pm
d