mutakhir

Kena serbu tengah layan gig

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

ASYIK menyanyi dan menari, 158 pengunjung persembahan gig band alternatif punk rock di sebuah resort di Kota Bharu, tidak menyedari polis melakukan serbuan di situ.

Bagaimanapun, kemeriahan itu bertukar sunyi sebaik peserta menyedari kehadiran pihak berkuasa di dalam dewan resort berkenaan.

Serbuan dilakukan pada 9.45 malam tadi oleh Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Pegawai Turus D7, Asisten Superintendan Mat Zol Ismail, berkata, ketika serbuan, ada beberapa lelaki bertindak untuk melarikan diri, namun ia berjaya dihalang anggota polis.

"Hasil siasatan kita dapati konsert terbabit dianjurkan selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi yang diketuai Inspektor Mohd Norizanman Yusoff, turut melakukan ujian air kencing secara rambang.

Katanya, kira-kira 30 lelaki dipilih untuk melakukan ujian air kencing dan daripada jumlah itu, enam lelaki positif methampetamine.

"Daripada enam orang yang positif itu, kita turut menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 28 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Suspek ditahan dan dibawa ke IPK Kelantan untuk siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 3:59pm
d