mutakhir

Potong pari depan pelancong

Oleh Avila Geraldine

PELANCONG ke Pulau Mabul di Semporna, semalam terkejut apabila melihat 15 ekor ikan pari termasuk spesies pari paus yang terancam dipotong di depan mereka.

Difahamkan, spesies marin itu disenaraikan antara hidupan terdedah kepada kepupusan dalam Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam Semula Jadi (IUCN), dipercayai dibawa ke pulau popular untuk penyelam menggunakan bot nelayan dan mendarat di perkampungan atas air.

Ia menarik perhatian pengunjung kebanyakan penyelam yang mengambil gambar nelayan memotong sirip, sebelum gambar menjadi viral sejak semalam yang turut menunjukkan antara tangkapan termasuk ikan yu.

Pengerusi Persatuan Perlindungan Jerung Sabah Aderick Chong berkata, antara spesies yang ditangkap adalah Manta Birostris iaitu spesies terbesar di dunia yang tersenarai dalam IUCN, dan turut dilindungi Konvensyen Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Flora dan Fauna (CITES).

"Saya sedih apabila mengetahui kejadian ini terutama selepas langkah diambil Jabatan Perikanan untuk melindungi hidupan marin ini.

"Ramai pelancong datang ke Sabah setiap tahun untuk melihat hidupan yang unik ini. Perlindungan sepenuhnya perlu diberi ke atas hidupan ini demi masa depan perairan dan industri pelancongan," katanya hari ini.

Di Sabah, hanya ikan yu paus dan ikan yu gergaji disenaraikan sebagai terancam di bawah Akta Perikanan 1985 (Kawalan Spesies Ikan Terancam) Peraturan 1999.

Jabatan Perikanan mencadangkan empat ekor yu dan dua ekor pari yang sudah disenaraikan di bawah CITES untuk dikategorikan sebagai terancam di bawah Akta Perikanan 1985.

Ia adalah Sphyrna Mokarran (great hammerhead shark), Sphyrna zygaena (smooth hammerhead shark), Eusphyra Blochii (winghead shark) dan Carcharhinus Longimanus (oceanic whitetip shark), manakala pari adalah Manta Birostris dan Manta Alfredi.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 4:01pm
d