mutakhir

Pengundi Cina dorong kejayaan BN di Miri

Oleh Kandau Sidi

BARISAN Nasional (BN) Sarawak yakin mampu merampas semula kerusi Parlimen Miri yang ketika ini dikuasai PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas pelbagai faktor, termasuk kembalinya sokongan pengundi Cina terhadap parti kerajaan itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai jika semua parti komponen BN Sarawak bergabung tenaga memastikan kemenangan calonnya di kerusi berkenaan.

“Kita perlu menang semula Miri. Bukan untuk saya atau Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian, sebaliknya untuk anda semua sebagai warga Miri. Ini penting untuk kesinambungan pembangunan di Miri bagi manfaat generasi muda.

“Kita bersikap optimis matlamat itu boleh dicapai, lebih-lebih lagi perbezaan majoriti yang sangat kecil ketika kerusi ini dimenangi PKR dalam PRU-13. BN akan pastikan kerusi ini kita menang semula nanti, tentunya dengan majoriti lebih besar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 - SUPP Miri, di Miri hari ini.

Abang Johari ketika mengulas lanjut, SUPP yang secara tradisinya adalah pemilik kerusi berkenaan sudah bersiap sedia untuk merencanakan strategi dan gerakan menawan semula Parlimen Miri.

“Parlimen Miri sebelum ini kubu buat BN. Zaman kegemilangan itu harus dikembalikan bagi membolehkan perancangan rapi dibuat untuk membangunkannya yang juga bandar raya kedua diisytiharkan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Abang Johari berkata, sejak berlangsungnya PRN-11, terdapat perubahan dari segi beralihnya sokongan masyarakat Cina terhadap BN, sekali gus menyaksikan kejayaan SUPP merampas semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini dikuasai DAP.

“SUPP dilihat sudah semakin berjaya menarik sokongan masyarakat itu melalui barisan kepemimpinan baharunya susulan kekalahan teruk dialami dalam PRU-13. Justeru, kita yakin dengan keupayaan SUPP dalam menggalas misi ini.

“Di Parlimen Miri misalnya, BN perlu memenangi semula kerusi ini, mempunyai wakil rakyatnya di sini bagi memastikan segala dasar pembangunan dirancangkan dapat dilaksanakan, lebih-lebih lagi dengan kedudukannya sebagai pusat industri petroleum negeri dan gerbang pelancongan utama di wilayah utara Sarawak,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 4:37pm
d