mutakhir

Pencuri serah diri akibat tertinggal Mykad

Oleh Amran Yahya

LIMA pelajar dan seorang penuntut kolej berusia antara 15 hingga 21 tahun ditahan kerana terbabit dalam cubaan mencuri motosikal di Kampung Masjid Terentang, Padang Lebar, Kuala Pilah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Haslah Bachok berkata, dalam kejadian 4.10 pagi itu, pemilik motosikal berusia 27 tahun terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi mencurigakan di hadapan rumahnya.

"Dia kemudian mengintai melalui tingkap dan mendapati tiga lelaki sedang melakukan sesuatu terhadap motosikalnya yang diletakkan di dalam kawasan rumah.

"Dia segera memberitahu perkara itu kepada abang iparnya serta seorang jiran, sebelum mereka menyerbu ketiga-tiga suspek terbabit. Bagaimanapun kumpulan suspek yang terkejut akibat disergah dapat melarikan diri.

"Mereka memeriksa kawasan sekitar sebelum menemui dua motosikal dipercayai milik suspek dan turut menemui Mykad milik seorang suspek di dalam bakul motosikal itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Haslah berkata, seorang suspek yang juga pemilik Mykad itu datang semula ke rumah berkenaan untuk menyerah diri tidak lama kemudian.

Beliau berkata, berikutan itu, polis menahan lima lagi rakan suspek yang juga pelajar sekolah menengah di daerah ini dan mereka disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 4:39pm
d