mutakhir

Syukur hanya cedera ringan

Oleh Safeek Affendy Razali

ANGGOTA polis trafik nyaris maut apabila Honda HRV hampir merempuhnya yang ketika itu sedang menjalankan tugas mengawal lalu-lintas di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), pagi tadi.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, anggota polis berpangkat Koperal itu bersama seorang lagi anggota lain sedang menjalankan tugas mengawasi kenderaan yang datang dari arah Kelana Jaya menghala ke Subang, di bawah jejambat berhampiran kilang Motorola, Petaling Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata, kereta yang datang dari arah Kelana Jaya terbabit dipercayai hilang kawalan dan tiba-tiba melanggar kaki lima jalan berkenaan.

"Kereta itu kemudian melanggar sebuah motosikal pasukan Polis Diraja Malaysia, Honda VFR850 serta Yamaha LC milik seorang daripada anggota terbabit yang diletakkan di tepi jalan.

"Pada masa sama, anggota terbabit yang berada berhampiran motosikalnya terjatuh dan mengalami kecederaan pada kaki," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Ku Mashariman berkata, semasa pelanggaran, kereta sama juga turut melanggar sebuah lagi motosikal lain milik orang awam, namun penunggangnya tidak menghadapi sebarang kecederaan.

Katanya susulan dari itu pihaknya menjalankan pemeriksaan dan mendapati pemandu berada dalam keadaan normal dan sihat, namun cuai semasa memandu kenderaannya.

"Anggota polis trafik dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Polis Daerah Petaling Jaya terbabit yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki hanya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik berhampiran.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sehubungan kejadian ini, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa persekitaran jalan termasuk arahan polis trafik bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 5:52pm
d