mutakhir

Berat ujianmu tok bilal

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

“JIKA isteri tidak mengambil upah mengasuh, sudah tentu keadaan kami sekeluarga makin teruk.”

Itu keluhan Sulhan Mat Piah, 49, yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, masalah jantung serta sakit tulang belakang, sekali gus terpaksa mengharapkan bantuan isterinya untuk menyara keluarga sejak lapan tahun lalu.

Sulhan berkata, semua penyakit itu dialaminya sejak belum mendirikan rumah tangga lagi sehingga memaksa dia berhenti daripada bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak dua tahun lalu apabila kesihatannya semakin merosot.

Menurutnya, pergerakannya semakin terbatas apabila kedua-dua kakinya sering berasa kebas selain tidak dapat berjalan jauh atau berdiri terlalu lama sehingga ada ketikanya perlu menggunakan tongkat.

"Kini saya hanya mampu menyara keluarga dengan bekerja sebagai bilal di masjid berdekatan dengan menerima elaun RM324 sebulan selain bantuan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM250 bersama barangan dapur setiap bulan.

"Mujurlah isteri, Norhayati Samingan, 48, mengambil upah mengasuh tiga anak jiran yang meraih RM900 sebulan, namun itu masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian dan persekolahan empat anak berusia lapan hingga 15 tahun,” katanya ketika ditemui di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, semalam.

Sulhan berkata, disebabkan menghadapi masalah kewangan dan memerlukan kos tinggi bagi rawatan tulang belakangnya, dia hanya mampu berusaha menggunakan kaedah berubat secara tradisional di sebuah pusat rawatan berhampiran dengan caj mengikut kemampuannya.

Dia berkata, isterinya turut menghidap kencing manis dan darah tinggi membuatkannya amat risau dengan keadaan masa depan keluarga terutama yang masih memerlukan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Jika isteri pun jatuh sakit, saya pasti lebih tertekan untuk menyara keluarga dalam keadaan kesihatan sebegini, tambahan pula bil elektrik masih tertunggak lebih RM600.

"Malah, keadaan rumah pusaka ibu saya sudah uzur terutama bumbung bilik tidur dan dapur sering dimasuki air ketika hujan lebat menyebabkan kami amat memerlukan kos bagi menggantikan bumbung baru," katanya.

Menurutnya, meskipun hidup dalam keadaan terumbang-ambing, dia dan isteri bersyukur apabila jiran dan saudara turut tampil meringankan beban mereka ketika berada dalam kesusahan dengan memberi sumbangan wang tunai atau barangan dapur.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional ( 07103-41-00007176-8) atas nama Sulhan Mat Piah atau menghubunginya di talian 017-5901880.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 8:44pm
d