mutakhir

15 penumpang cedera bas masuk parit

Oleh Mohd Sah Muda

Mersing: Seramai 15 penumpang cedera apabila bas dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terhumban ke dalam parit di Kilometer 17 Jalan Nitar-Mersing berhampiran Ladang Felda Nitar Timur jam 12.35 tengah malam, kelmarin.

Kejadian berlaku apabila bas dipandu lelaki berusia 59 tahun dari Melaka ke Bandar Mersing itu membawa 32 penumpang termasuk 10 pelajar Politeknik Mersing Johor (PMJ) yang dalam perjalanan pulang ke asrama mereka selepas bercuti sempena Tahun Baru Cina.

Hanya seorang penumpang wanita yang belum diketahui identiti dan dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Endau cedera di rusuk kiri serta patah tangan kiri kini menerima rawatan di Hospital Mersing.

Penumpang lain pula hanya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Felda Nitar 1 dan Hospital Mersing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Sarhan Akmal Mohamad berkata, operasi menyelamat dijalankan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.43 tengah malam.

Menurutnya, enam anggota dengan sebuah jentera dan ambulans dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, beberapa penumpang bas serta pemandu berjaya dikeluarkan sebelum diberi rawatan oleh pasukan paramedik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, siasatan awal mendapati bas itu hilang kawalan lalu terbabas ke parit di tepi jalan.

Menurutnya, ketika kejadian cuaca baik dan tidak hujan. Bagaimanapun, lokasi kejadian adalah selekoh tajam.

“Pemandu bas dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 4:05am
d