mutakhir

Si cilik Qabil Irfan lasak di litar

Oleh HM Digital

Seremban: Dek kerana minat, deruman dan ngauman mini bike atau motosikal mini yang membingitkan telinga langsung tidak menggentarkan penunggang cilik, Qabil Irfan Azlan, 6, berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.

Lebih mengagumkan, dia berbakat dan cekap mengawal mini bike berkenaan walaupun melalui selekoh tajam ketika berada di litar perlumbaan.

Qabil Irfan antara 75 peserta berusia lima hingga 18 tahun dari Pahang, Selangor, Johor dan Terengganu yang bertarung pada Kejohanan Perlumbaan Motosikal Mini 2018 di Kompleks Sukan Tan Sri Mohd Said Seremban 2, kelmarin.

Katanya, impian menjadi pelumba profesional suatu hari nanti membuatkan dia tidak pernah takut atau serik menunggang mini bike biarpun pernah terbabit kemalangan.

“Saya memang suka menonton perlumbaan MotoGP dan ingin memiliki motosikal dan keinginan itu direalisasikan oleh ayah yang sentiasa memberikan sokongan.

“Saya berharap dapat bergelar pelumba hebat suatu hari nanti,” katanya ditemui selepas kejohanan.

Sementara itu, bapanya, Azlan Abdul Rahim, 42, berkata, Qabil Irfan menunjukkan minat dalam sukan lasak berkenaan sejak berusia empat tahun sebelum dia merealisasikan impian kanak-kanak itu dengan membeli sebuah mini bike.

Menurutnya, walaupun ketika itu masih baru namun dalam tempoh dua tahun, Qabil Irfan menyertai banyak pertandingan di seluruh negara.

“Sepanjang 2017, Qabil Irfan menyertai lapan kejohanan dan mendominasi lima daripadanya dengan menduduki johan, naib johan dan tempat ketiga kategori Rookie bawah 10 tahun,” katanya.

Menurut Azlan, Qabil Irfan pernah luka di muka akibat kemalangan ketika peringkat awal menunggang mini bike namun insiden itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberikan sokongan pada anaknya bagi menyertai pertandingan.

“Saya dan isteri sentiasa memberi sokongan dengan minat yang diceburi dan setakat ini juga kami sudah berhabis kira-kira RM12,000 demi untuk merealisasikan impian Qabil Irfan.

“Malah saya melatihnya di litar mini bike di Kuala Terengganu empat kali seminggu,” katanya.

Pada kejohanan itu, Qabil Irfan menggondol naib juara dan tempat ketiga kategori Rookie dan Open Machine membabitkan peserta enam tahun ke atas.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 4:59am
d