mutakhir

Persinggahan baru...

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Ke mana saya nak bawa Naza selepas dia selesai menjalani pembedahan. Masalah rumah masih membelenggu saya, bilik itu memang tak sesuai untuk Naza. Risau kesihatannya terganggu jika terus tinggal di situ termasuk risiko berlaku jangkitan kuman pada paru-parunya.

“Sebelum ini saya berumah di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) tiga bulan. Sekarang Naza dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula, tak tahu berapa lama lagi kami akan berada di sini,” kata ibu tunggal, Maslinda Abd Rahman, 44.

Ibu kepada Muhammad Nazaruddin Roslan, 11, kanak-kanak menghidap Cerebral Palsy (CP) dan sawan itu berkata, anak kelimanya yang manja dengan panggilan Naza dijadualkan menjalani tiga pembedahan serentak di HKL.

Menurutnya, Naza perlu menjalani pembedahan gigi, usus dan kaki namun dia masih menunggu tarikh prosedur itu akan dilaksanakan daripada doktor pakar.

“Hari ini (semalam) kami tiba di HKL, setakat ini Naza ditempatkan di wad kanak-kanak dan keadaannya tidak banyak berubah, tapi agak merisaukan kerana dia kerap mengadu sukar bernafas.

“Doktor pakar baru ambil sampel darah untuk diuji, jadi saya kena tunggu dan perlu banyak bersabar. Sekarang saya tinggal di wad. Semua urusan harian seperti mandi dan makan juga di sini sebab tak ada kediaman lain atau rumah waris untuk ditumpang.

“Keadaan Naza juga menyebabkan saya tidak boleh berenggang atau meninggalkan dia tanpa pengawasan bagi tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui di HKL di sini, semalam.

Maslinda berkata, selepas kisah anaknya disiarkan Harian Metro, Jumaat lalu, dia dihubungi pelbagai pihak termasuk individu yang bersimpati dengan nasibnya.

Paling menggembirakan wanita itu apabila ada dalam kalangan pemanggil berjanji mahu membantu menyediakan kediaman lebih selesa untuk mereka.

“Namun sampai sekarang belum ada yang tampil bagi menerangkan mengenai jenis bantuan mahu diberikan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maslinda, Bank Simpanan Nasional (BSN) 05103-29-00019768-7 atau hubungi di talian 01111427864.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 5:36am
d