mutakhir

Dapat khabar duka melalui FB [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kota Tinggi: “Saya tak sangka kemalangan itu yang menjadi tular membabitkan adik sendiri,” kata Normala Mohamad Ali, 38, kakak kepada Noraziah, 35, yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama suaminya di Kilometer 36, Jalan Johor Bahru-Mersing, petang kelmarin.

Normala berkata, dia mengetahui kemalangan berkenaan daripada rakannya ketika berada di bandar itu pada jam 6.30 petang.

“Rakan hubungi saya untuk mendapatkan kepastian kemalangan yang tular di laman sosial Facebook (FB).

“Saya cam (kenal) itu memang kereta adik dan suaminya, Edil Azhar Abdul Rahman@Mohamed, 39, dan cuba hubungi mereka namun gagal,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kedua-duanya sudah tiada di lokasi.

“Pada masa sama, adik, Norazura, 30, dapat menghubungi pegawai penyiasat sebelum dimaklumkan adik serta suaminya meninggal dunia.

“Kami tidak nampak apa-apa perubahan pada pasangan berkenaan namun pada hari kejadian mereka tidak memaklumkan kepada keluarga ke mana hendak pergi sedangkan rutin biasa sebelum keluar rumah, adik memberitahu ibu, Pun Mohamad, 67,” katanya.

Menurutnya, adik iparnya yang bekerja di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang bercuti empat hari sempena Tahun Baru Cina.

Normala berkata, adiknya baru saja menyambut ulang tahun perkahwinan keenam pada 30 Januari lalu, namun mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 5:49am
d