mutakhir

'Hantu' motor dalam CCTV

Oleh Nur Sufiah Abd Halim

Kuala Lumpur: Kelibat dua ‘hantu’ melarikan motosikal milik pelajar yang diletakkan di depan Kolej Vokasional Setapak, di sini, dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

Rakaman berdurasi 15 saat dimuat naik mangsa di laman sosial, Instagram menunjukkan dua lelaki menolak motosikal berkenaan sebelum memecut kenderaan itu, minggu lalu.

Mangsa yang juga pelajar kolej itu Muhammad Hairul Ahza Norzaini, 19, berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 10.30 pagi pada 12 Februari lalu berdasarkan rakaman CCTV di kawasan berkenaan.

“Saya menyedari kehilangan motosikal diletakkan di parkir motosikal di depan kolej selepas kelas tamat jam 5 petang.

“Sebelum ini, saya selalu meletakkan motosikal di kawasan itu dan tidak menyangka akan kehilangannya ” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV itu kelihatan seorang individu berpakaian seragam sekolah, manakala manakala seorang lagi berpakaian hitam.

“Saya mengesyaki seorang daripada individu terbabit pelajar kolej vokasional ini atau sekolah berhampiran.

“Walaupun sudah tujuh motosikal dilaporkan hilang di sekitar kawasan ini pada tahun lalu, saya tidak terfikir ia berulang tahun ini, ” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Setapak pada 13 Februari lalu.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 5:53am
d