mutakhir

Wanita nafi 'lalok'...

Oleh Nur Saliawati Salberi

“MANA ada ambil barang, cuma sebelum keluar dari rumah, saya ambil rokok kawan dan hisap. Mungkin di dalamnya ada dadah."

Begitu dakwa seorang wanita yang ditahan selepas didapati positif dadah dipercayai ganja dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Piatu, malam semalam.

Operasi Khas Bersepadu Tahun Baru Cina bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) selama empat jam berakhir 12 tengah malam.

Terdahulu, wanita berusia 31 tahun menaiki Perodua Viva bersama dua lagi rakannya mendakwa tidak tahu rokok yang dihisap mengandungi ganja, selain memberi pelbagai alasan serta enggan keluar dari kenderaan.

Malah, saringan ujian air kencing yang dilakukan kemudian mendapati wanita itu positif dadah.

Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata, sebanyak 780 kenderaan termasuk kenderaan berat diperiksa dalam operasi itu.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah 103 kesalahan dikesan pihak berkuasa berkenaan.

"Sebanyak 73 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan paling banyak dikesan adalah insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (27), tiada lesen memandu (20) dan cermin gelap (14),"katanya.

Katanya, pihaknya turut menyita empat kenderaan masing-masing dua kereta dan motosikal.

Sementara itu, Timbalan Pengarah AADK negeri Reuben Ahsokhan berkata, empat individu termasuk seorang wanita berusia 25 hingga 48 tahun ditahan selepas ujian saringan air kencing didapati positif dadah.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 2:35pm
d